Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Bicara Tokoh Alumni Hidupkan Semula Nostalgia ITM: “Era Ketika Impian Dilakar”

SHAH ALAM, 10 Jun 2025 – UiTM terus mengangkat warisan dan semangat perjuangan alumni terdahulu menerusi acara istimewa Bicara Tokoh Alumni: ITM Dulu-dulu – Era Ketika Impian Dilakar, yang berlangsung semalam bersempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2025 peringkat universiti.

Sesi ini menampilkan tokoh alumni tersohor, YBhg. Prof. Ir. Dr. Hj. Abdul Rahman Omar, yang berkongsi kisah perjalanan hidup dan liku-liku pengajian beliau sebagai pelajar Kajian Kejuruteraan, ITM Shah Alam sekitar tahun 1976. Lebih mengujakan, sesi ini turut menyaksikan penyerahan semula fail pelajar asal beliau oleh Bahagian Arkib Universiti Teknologi MARA, yang mengandungi kad penuntut, keputusan peperiksaan, dokumen rasmi dan catatan akademik yang mencerminkan dedikasi serta semangat juang seorang mahasiswa pada era tersebut.

Bicara yang dikendalikan oleh Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, berjaya membangkitkan suasana penuh nostalgia – membawa hadirin menyelusuri zaman ITM dahulu yang penuh cabaran, idealisme, dan impian. Suasana menjadi lebih bermakna apabila Prof. Abdul Rahman berkongsi detik-detik beliau berbasikal ke kuliah, hidup berjimat, dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi mengubah masa depan.

"Zaman kami, tiada teknologi canggih. Tetapi kami ada tekad, ada cita-cita. ITM bukan sekadar tempat belajar, ia tempat membina jati diri," ujar beliau dalam sesi tersebut yang turut disambut dengan tepukan gemuruh oleh hadirin.

Program ini bukan sekadar sesi perkongsian pengalaman, tetapi juga satu platform penting yang menghubungkan generasi lama dan baharu, sekaligus menyuntik semangat kebanggaan terhadap warisan institusi.

Tema “Archives are Accessible – Archives for Everyone” direalisasikan dengan sempurna melalui inisiatif ini, memperlihatkan bagaimana arkib bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, tetapi juga ruang untuk menghidupkan kembali inspirasi masa lalu.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.