KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Seramai 43 peserta yang terdiri daripada staf Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), pensyarah, kakitangan pentadbiran, pelajar serta wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Johor telah menyertai lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Lawatan anjuran PTDI ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada perkembangan semasa dalam industri penerbitan buku, sekali gus memupuk minat membaca dalam kalangan warga kampus. Selain itu, program ini juga memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti bagi tujuan akademik dan pembangunan kendiri.
Sepanjang lawatan, peserta berpeluang melawat pelbagai reruai penerbit tempatan dan antarabangsa, mendapatkan buku pilihan dengan harga berpatutan serta berinteraksi secara langsung dengan penulis dan tokoh dalam industri buku. Suasana meriah dan pameran yang pelbagai memberi pengalaman yang bermanfaat kepada semua peserta.
Program ini telah mencapai objektif penganjurannya dan menerima maklum balas yang sangat positif. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif menyemarakkan budaya ilmu dan literasi dalam kalangan warga UiTM.
Hebahan media sosial : media sosial