Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan Program Revolusi Pengurusan Rekod Bibliografik: Peranan AI Dalam Era Digital pada 3 Jun 2025. Program ini menampilkan Encik Ahmad Akmal bin Mohd Idris, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan Tun Dr Ismail, UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, sebagai penceramah jemputan.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman para peserta terhadap peranan teknologi moden, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), dalam pengurusan rekod dan bibliografik di perpustakaan, selaras dengan perkembangan era digital.
Seramai 44 orang staf perpustakaan telah mengambil bahagian dalam program ini, terdiri daripada pustakawan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan proses pengkatalogan di seluruh rangkaian Perpustakaan UiTM. Kehadiran peserta yang terlatih dalam bidang teknikal ini menjadikan sesi lebih interaktif dan bermakna.
Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada asas-asas proses pengkatalogan dan pengkelasan, serta diberikan peluang untuk meninjau evolusi pengurusan maklumat dari kaedah konvensional kepada pendekatan digital yang lebih efisien. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan kerja katalog dalam memastikan keberkesanan akses maklumat, serta peranan teknologi moden dalam menyokong kerja-kerja tersebut.
Salah satu komponen menarik dalam program ini ialah demonstrasi penggunaan AI ChatGPT untuk membantu dalam proses pengkatalogan seperti cadangan tajuk subjek (subject heading) dan nombor pengkelasan. Demonstrasi ini membuka ruang pemahaman baharu terhadap potensi AI sebagai alat sokongan teknikal dalam kerja-kerja perpustakaan.
Secara keseluruhan, program ini berjaya membuka minda peserta terhadap transformasi digital dalam pengurusan bibliografik, serta memperkukuh peranan pustakawan sebagai pengurus maklumat yang progresif, inovatif, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.