30 Jun 2025 | 04 Muharam 1447H : Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan satu Sesi Libat Urus bersama Bahagian Infostruktur yang berlangsung di Bahagian Infostruktur , Kampus Puncak Alam. Selain perkongsian secara fizikal, sesi ini juga melibatkan staf Bahagian Infostruktur Kampus Sungai Buloh dan Kampus Dengkil yang turut hadir secara atas talian melalui sesi perkongsian secara google meet. Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Hani Liza Norfin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan dan Puan Hafiza Mustape, Pustakawan Kanan UiTM Kampus Puncak Alam.
Penganjuran sesi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif PTAR dalam memperkukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat rujukan dan penyebaran maklumat yang berkesan. Ia turut menyumbang secara langsung kepada pencapaian agenda universiti dalam membentuk Masyarakat Berpengetahuan (Knowledge Society) dan menyokong kempen pembacaan UiTM yang mensasarkan 24 naskhah setahun bagi setiap staf dan pelajar.
Dalam sesi ini, semua peserta turut diberikan pendedahan komprehensif mengenai penggunaan Sistem PERMATA Perpustakaan yang mengandungi pelbagai koleksi ilmiah dan yang perlu dijadikan sebagai sumber rujukan utama bagi menyokong aktiviti akademik, penyelidikan serta pembangunan ilmu secara terbuka dan berstruktur.
Secara keseluruhannya, sesi ini memberikan impak positif dalam memperkukuh peranan PTAR sebagai nadi utama warga universiti dalam pencarian dan penyampaian maklumat yang sahih, seterusnya menyokong peningkatan akses kepada sumber maklumat yang berkualiti demi manfaat seluruh warga UCS.