Puncak Alam, 15 Mei 2025 | 17 Zulkaedah 1446H – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Kampus Puncak Alam, telah mengadakan satu sesi libat urus bersama Unit Hal Ehwal Islam (EHEI), UiTM Cawangan Selangor bagi memperkukuh jalinan kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan ilmu dan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga kampus.
Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 4, Aras 2, Bangunan Pejabat Rektor telah dihadiri oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan PTAR UCS, Puan Hani Liza Norfin, Puan Hafiza Mustape, Puan Nur Fatihah Mohamad serta wakil-wakil Unit Hal Ehwal Islam dari pelbagai kampus UiTM Cawangan Selangor termasuk ketua Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Selangor, Tuan Haji Lufti Fauzi Bin Haji Sabari.
Antara objektif utama sesi libat urus ini adalah untuk membincangkan inisiatif dan program kolaboratif yang boleh dilaksanakan bersama, termasuk penganjuran wacana ilmiah, penyediaan bahan bacaan Islamik berkualiti, serta promosi literasi maklumat berasaskan nilai-nilai Islam.
Selain mempromosikan perkhidmatan dan kemudahan PTAR UCS, Puan Hani Liza Norfin dalam pembentangannya turut menekankan penggunaan MyReading Permata 1 Staf 24 bahan bacaan setahun. Di dalam sesi ini juga turut diberi tunjuk ajar cara merekodkan bahan bacaan ke dalam Sistem MyReading Permata oleh Puan Nur Fatihah Mohamad, Pustakawan PTAR.
Sesi turut menyentuh mengenai potensi pembangunan koleksi digital Islamik, integrasi maklumat berkaitan syariah dalam sistem pencarian perpustakaan, serta cadangan mewujudkan sudut khas Hal Ehwal Islam di setiap perpustakaan kampus.
Majlis berakhir dengan sesi pertukaran pandangan dan cadangan daripada kedua-dua pihak, serta harapan agar kerjasama ini dapat diteruskan dengan pelaksanaan program-program yang memberi manfaat secara langsung kepada warga UiTM.