Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Bengkel Bacaan Pantas Perkasa Kecekapan Membaca Warga IPD Jasin

12 Jun 2025 | Jasin, Melaka – Dalam usaha memperkukuh kemahiran literasi maklumat dalam kalangan anggota keselamatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, dengan kerjasama Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jasin dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam, telah berjaya menganjurkan Bengkel Bacaan Pantas yang berlangsung dengan jayanya.

Program yang diadakan pada 12 Jun 2025 ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan membaca dan keupayaan pemprosesan maklumat dalam kalangan warga IPD Jasin. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah polis, pegawai awam serta ahli PERKEP Jasin telah mengambil bahagian dalam bengkel ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Jasin, Supt Mohamad Rusli bin Hj Mat, yang dalam amanatnya menegaskan:

“Sebagai anggota polis, kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai maklumat seperti laporan, arahan, kertas siasatan dan dokumen yang memerlukan kita membaca, memahami dan bertindak dengan tepat dan cepat. Oleh itu, 'speed reading' bukan sekadar satu kemahiran tambahan tetapi satu keperluan strategik dalam profesion kita.”

Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini seiring dengan aspirasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membentuk anggota yang lebih berilmu, tangkas dan cemerlang di lapangan.

Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Nurul Aida Noor Azizi, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR, yang menyampaikan teknik bacaan pantas yang relevan untuk tugasan harian anggota keselamatan. Sesi turut dibantu oleh fasilitator PTAR berpengalaman iaitu Cik Ummi Halimatunssaadiyya Shamsul Yuzli, Puan Siti Haidah Md Aziz, dan Puan Maznah Maarof.

Turut hadir memberikan sokongan padu:

  • DSP Nor Azlinda binti Hj Nordin, Timbalan Ketua Polis Daerah Jasin

  • Wakil Institute for Medical Research (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia

  • En. Mohd Ismail bin Abidin, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR sebagai pegawai penghubung utama

Penganjuran bengkel ini mendapat sokongan penuh daripada Pengurusan Tertinggi PTAR UiTM, yang diketuai oleh Tn Ts. Hj. Azizi Hj. Jantan, Ketua Pustakawan. Komitmen ini mencerminkan peranan aktif PTAR dalam memperluaskan inisiatif literasi maklumat kepada masyarakat luar kampus, termasuk agensi keselamatan.

Program ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti individu peserta, malah mengukuhkan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan pihak berkuasa keselamatan dalam membina budaya membaca serta kecakapan maklumat yang mampan.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.