SEGAMAT, 12 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail 1, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah menjadi lokasi penganjuran Kem Sanggar Bahasa Generasi MADANI selama dua hari berturut-turut bermula 11 hingga 12 Jun 2025. Program ini merupakan inisiatif strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk memperkasa penguasaan bahasa Melayu serta memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah rendah. Bertemakan "Bahasa Dirai, Jati Diri Dimartabat", program ini berjaya menghimpunkan seramai 100 orang murid sekolah rendah dari sekitar daerah Segamat bersama 25 guru pengiring yang hadir dengan semangat dan keterujaan.
Pada hari pertama, program dimulakan dengan sesi ‘ice-breaking’ dan pembahagian kumpulan yang dikendalikan dengan penuh interaktif oleh Encik Faizul Azwan Jalil, Pembantu Pustakawan dari Perpustakaan Tun Dr. Ismail. Seterusnya, peserta mengikuti slot “Literasi Maklumat Sekolah: Resensi Buku” yang disampaikan oleh Puan Noredayu Rosli, Pustakawan Kanan PTDI. Sesi ini memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai teknik membuat ulasan buku secara kreatif, terarah dan berstruktur. Respon yang diterima amat menggalakkan apabila para peserta menunjukkan minat serta berani berkongsi pandangan mereka terhadap buku yang telah dibaca.
Hari kedua pula diteruskan dengan sesi motivasi dan pembentangan, yang turut dikendalikan oleh Encik Faizul Azwan Jalil. Pendekatan beliau yang santai dan menyeronokkan berjaya menyuntik semangat, keyakinan dan keterujaan dalam diri murid-murid untuk tampil dan berkongsi hasil kerja mereka di hadapan rakan-rakan serta guru pengiring. Aktiviti ini menyerlahkan keberanian, kreativiti dan potensi murid dalam kemahiran komunikasi serta pemikiran kritis, sekali gus membuktikan keberkesanan program ini dalam mencungkil bakat dan membina keyakinan diri.
Secara keseluruhan, program Kem Sanggar Bahasa Generasi MADANI ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada murid-murid untuk mengasah kemahiran bahasa dalam suasana yang menyeronokkan, tetapi juga memupuk rasa cinta terhadap bahasa ibunda dan bahasa antarabangsa sebagai alat komunikasi yang berkesan. Pada masa yang sama, ia memperkukuh peranan Perpustakaan Tun Dr. Ismail sebagai rakan strategik dalam menyokong pembangunan sahsiah dan kecemerlangan murid di luar bilik darjah. Diharapkan penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan generasi MADANI yang berilmu, berani dan berdaya saing.
Pautan media sosial : media sosial